Monday, June 7, 2010

SMS jihad dikala isu Palestin bangkit?

Assalamualaikum sahabat-sahabat semua. 

          Saya yakin, pada waktu ini, bukan saya sahaja yang menerima SMS seperti ini ;

"Pemimpin Hizbullah, Syd Hsan Nsrallah minta sume muslim utk mbca surah al Fath ayat 26-27, srah Yunus ayat 85, 86 n 88..malam ini. Tlg sbarkn, agar Israel hancur. Fwd seluruh umt Islam..sdra seagama telah dkpong tngu msa tuk dsmblih. Keadaan amat dhsyat..Tu saja jihad kita.-mntk tlg sgt2 kpd shbt2-sebar sramai mgkn."

          Anda juga pasti telah menerimanya berulang kali. Ketika sensitiviti masyarakat Islam mula tertumpu dengan isu Palestin, kita semua cepat melatah dengan sesuatu perkara dan informasi yang sampai. Asal sebut sahaja perkataan Yahudi, Israel, atau Palestin, mata mula terbeliak, mulut petah berbicara dan telinga rasa panas sentiasa. 

          Ini bukanlah kali pertama saya menerimanya, malah sebelum ini juga saya telah menerimanya beberapa kali dari rakan-rakan beberapa malam berturut-turut. Namun agak berat untuk forward kepada teman-teman saya yang lain. Bukanlah saya tidak menyahut seruan jihad itu, namun, sebelum berjihad, masyarakat kita sendiri dengan lemahnya telah menerima semua informasi-informasi yang sampai kepada kita.

          Belum tentu lagi perkara itu sahih kita telah membuta tuli forwardnya kepada rakan-rakan yang lain. Allah telah berfirman dalam surah (Al-Hujurat 49:6) ;

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik, membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini. Dengan sebab kajahilan kamu (mengenainya) - sehinggakan menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah katakan" 

          Jadi, adakah kita teliti menyelidik informasi tersebut? Saya tertanya-tanya adakah benar kenyataan itu dikeluarkan oleh Syed Hasan Nasrullah? Saya tahu beliau adalah hero terkemukan yang sering dikaitkan dengan kepimpinan Hizbullah dalam peperangan Zionis-Lubnan sebelum ini. Beliau juga adalah ulama' Syiah Lubnan yang terkemuka. Namun, berfikirlah dua, tiga atau kalau boleh 100 kali dengan maklumat-maklumat yang sampai seperti ini. 


          Perkara pertama yang bermain difikiran saya adalah, adakah dengan cara forward mesej-mesej tersebut kita akan  berterima kasih dengan beliau yang berpandangan Syiah ini? Sahabat semua, google lah di internet sekalipun anda tidak rajin menelaah buku tentang prinsip akidah Syiah ini. Jelas sekali menunjukkan bahawa pandangan Syiah ini bertentangan dengan Ahl Sunnah wal Jamaah. 

          Saya khuatir andai ada sesetengah pihak yang cuba mengangkat nama pemimpin mereka dengan cara sebegini. Fahaman Syiah sedang bergerak masuk ke dalam pemikiran masyarakt Islam Malaysia. Adakah anda sedarinya? Peringatan tegas ini pernah diberikan oleh seorang pensyarah universiti saya dalam kuliah maghrib sebelum ini. Saya yakin, ramai yang tidak mengenali Syed Hasan ini. Yang pasti, sebaik sahaja anda terbaca ayat ini "Tu saja jihad kita.-mntk tlg sgt2 kpd shbt2-sebar sramai mgkn." anda terus tidak teragak-agak untuk forward kepada rakan-rakan yang lain. Betapa mudahnya masyarakat kita kan?

          Saya tidak merendahkan Syed Hasan kerana, beliau dikagumi oleh semua masyarakat Muslim Syiah atau bukan Syiah dan non-muslim di Lubnan. Beliau juga tidak pernah mencampur adukkan fahaman syiahnya bila bercakap tentang politik dan perjuangan Palestin. Mungkin hanya terdapat pihak-pihak yang mempergunakan situasi dan medium untuk mengangkat pemimpin mereka ini dimata masyarakat lain.  

          Perkara lain adalah, membaca ayat-ayat tertentu pada malam-malam yang tertentu. Satu lagi ajaran bawaan Syiah agaknya. Saya tidak pasti. Katakan anda menerima mesej itu pada malam Rabu, tapi, kredit anda tidak mencukupi untuk forward mesej tersebut kepada seramai mungkin. Lalu anda forward mesej itu  pada malam esok setelah anda top-up akaun anda. Maka, penerima lain akan menerima mesej itu pada malam Khamis pula. Jadi, macam mana ni? 

          Saya ingin mengajak para sahabat semua renungkan kembali dan berfikir semula tentang perkara ini. Saya bukanlah pemikir hebat dalam perkara ini. Namun saya ingin melahirkan kebimbangan terhadap masyarakat Islam kita yang kadang-kadang dengan mudah mengambil sesuatu maklumat yang diterima. Melalui beberapa pengalaman saya, akhirnya maklumat yang tidak diselidik ini akhirnya hanya membawa padah sahaja. Wallahu a'lam..