Sunday, April 18, 2010

Relevankan Dakwah Islam Di Pub?

wartawan: Nurul Ashikin dan Asmawati (USIM Today)      

       Kes penahanan bekas mufti Perlis yang dikatakan sebagai pendakwah yang tidak bertauliah kerana mengamalkan konsep wahabi dalam penyampaian dakwah tidak berhenti setakat itu sahaja. Malah, baru-baru ini, beliau telah mencadangkan satu idea yang agak kontroversi di kalangan masyarakat Islam iaitu 'dakwah di pub'.

       Dr. Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza di dalam blognya, dr.maza.com memilih jalan dakwah ini setelah melihat masalah sosial di kalangan remaja semakin membimbangkan dewasa ini.

       Kawasan pub dan kelab malam yang menjadi tumpuan umum untuk melakukan aktiviti sosial ini menarik perhatiannya untuk mengembangkan dakwahnya di kawasan 'najis' itu. Namun, sejauh manakah penerimaan masyarakat terhadap cadangannya itu?

       Pub atau kelab malam ini bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat Melayu Islam, malah, kawasan santai dan rehat bagi bangsa lain dan pelancong-pelancong dari luar negara. Bukanlah mudah untuk menjalankan dakwah bertepatan dengan konsep dakwah yang digariskan oleh Islam dalam tempat sebegini.

       Menurut beliau, pada waktu inilah artis-artis tanah air perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai-nilai murni terhadap masyarakat khususnya golongan remaja.

       Artis merupakan golongan yang berpengaruh di kalangan masyarakat. Maka, beliau menyarankan kepada artis-artis tanah air untuk menonjolkan kepada masyarakat sesuatu yang boleh membawa kemaslahatan kepada umat Islam khususnya.

       Walaupun begitu, cadangan dakwah ke pub ini ditolak oleh pelakon dan pengarah filem tersohor Malaysia, Ahmad Idham. Beliau berpendapat, dakwah sebegini akan menakutkan pengunjung pub dan kelab malam terhadap agama Islam itu sendiri.



       Menurut beliau lagi, dakwah ini tidak sesuai dijalankan di pub berikutan bukan sahaja masyarakt Melayu berada di situ, malah, artis-artis tempatan dan pelancong luar negara turut menggunakan kawasan tersebut sebagai pusat aktiviti sosial mereka.

       Lain pula padangan Dr. Sri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkenaan dakwah di pub ini. Beliau berpendapat, aktiviti dakwah sebegitu akan memberi imej yang buruk terhadap pendakwah kerana tidak menggunakan teknik dakwah secara berhemah. Pendakwah tidak semestinya perlu turun padang untuk melakukan aktiviti dakwah.

       Malah, pendekatan yang lebih cermat seperti membawa pengunjung kelab malam ke kawasan lapang untuk mengadakan ceramah dan kesedaran merupakan jalan terbaik dalam usaha dakwah ini. Ini bermakna, pendakwah tidak perlu terjebak sama ke dalam kelab malam tesebut kerana dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada pendakwah tersebut.

       Perspektif dakwah ini telah di pandang secara meluas dari sudut yang berbeza. Bukan semua pendakwah akan menggunakan pendekatan dakwah yang sama. Terdapat banyak perkara yang perlu dilihat dan dititikberatkan.

       Oleh yang demikian, wartawan USIM Today telah melakukan tinjauan di sebuah kelab malam di Dang Wangi, Kuala Lumpur bersama aktivis dakwah yang telah lama melakukan aktiviti ini sejak penglibatan mereka dalam bidang muzik untuk melihat sendiri medium dakwah yang digunakan.

       Sekali pandang, kumpulan hip hop ini kelihatan sealiran dengan  kumpulan VE, Ahli Fiqir, atau Ruffedge. Namun, di sebalik perwatakan dan penampilan mereka, penuh dengan matlamat dan misi seorang da'ie.
                                     Edry Faizal...perintis hip hop berimejkan dakwah.

       Edry Faizal Eddy Yusof atau lebih dikenali sebagai Al-Faisal dalam blognya. 5forty2music.com merupakan seorang penyanyi rap dan hip hop dan juga salah seorang antara Ahli Jawatankuasa Islamic Information Service (IIS). kumpulan ini yang telah lama ditubuhkan sejak enam tahun yang lalu sudah banyak menceburkan diri dalam bidang dakwah melalui medium muzik.

       Beliau berpendapat, tidak kira di kelab malam, gig muzik, atau di celah-celah lorong, sekiranya peluang dakwah itu muncul maka seseorang Muslim itu harus merebutnya. Kita perlu melihat dakwah dalam bentuk yang luas, tidak bererti apabila berdakwah itu hanya tidak boleh tidak     mesti berceramah atau menyebarkan risalah semata-mata.

       "Kadang kala agak lucu apabila memikirkan kami masih diundang walaupun lirik kami boleh dikatakan agak pedas kerana mengkritik secara langsung budaya hidup yang liar.

       Melalui persembahan, lazimnya kami berpeluang mendapat rakan-rakan baru yang boleh menyerap ke dalam 'circle of influence' di kalangan rakan-rakan dan pendengar kerana merekalah yang berpotensi besar untuk menelaah lebih lanjut mesej yang cuba kami sampaikan" jelas Edry.

       Melihat kepada perspektif dakwah sekarang, pelbagai medium boleh digunapakai dalam mewujudkan keharmonian perhubungan antara da'ie dan mad'u. Dakwah tidak dilihat dari sudut penyampaian sahaja. Namun, pendakwah harus menitikberatkan aspek pemilihan tempat dan sasaran dakwah bagi memastikan keseinambungan dalam mencapai objektif sebenar dakwah.
     Hip hop..genre pilihan 5forty2 yang menjadi medium dakwah dikalangan remaja. Untuk mendengar lagu mereka sila klik di sini
   
       Dalam konteks ini, beliau berpendapat, "untuk berdakwah di tempat seperti di kelab malam dan sewaktu dengannya memerlukan strategi dan peluang. Tidak semudah merempuh dan kemudian berdakwah. Usaha kita perlulah seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berterabur," kata Edry lagi.

       Kita tidak mengatakan bahawa pendapat ulama' ini betul atau salah kerana masing-masing mempunyai kaedah dakwah yang tertentu. Namun, para ulama' perlulah saling berkerjasama dan tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam usaha membanteras masalah sosial di kalangan remaja.

0 comments:

Post a Comment